Rabu, 25 Mei 2011

Nostalgia 3 – Ceramah-ceramah PAS dihalang


Pada tahun 80-an itu menunjukkan kebangkitan peneroka Felda menuntut hak mereka. Walaupun mereka mahu berunding dengan Felda mengenai masalah yang menimpa mereka, peneroka-peneroka ini dicop sebagai pembangkang, tidak bersyukur dan dianggap menentang kerajaan.
Sehingga 1984, seramai 3,605 peneroka-peneroka Felda disingkirkan dari tanah rancangan Felda di seluruh negara, iaitu semasa Rais Yatim menjadi Menteri yang bertanggungjawab.
Penyingkiran yang dilakukan tidak berpandukan peruntukan undang-undang GSA, tetapi atas keserakahan nafsu pimpinan UMNO semata-mata.
Seseorang peneroka yang mempunyai pandangan kritikal terhadap kerajaan dianggap melanggar peraturan. Atas sebab itu semata-mata, mereka dikeluarkan dari tanah rancangan Felda.
Mereka seolah-olah mencampakkan undang-undang GSA yang sebenarnya menyatakan bahawa, peneroka-peneroka yang berdaftar sebagai penduduk adalah pemilik (in expectation of title)

Sedangkan, kuasa untuk menyingkirkan mereka tidak terletak di tangan Felda, tetapi kepada ‘collector’ di pejabat-pejabat tanah sebagai badan sah mewakili kerajaan negeri.
Tindakan dari peneroka Felda bagi menyatakan perasaan mereka ialah dengan mengadakan ceramah-ceramah kelompok didalam rumah, namun dihalang oleh Felda, JKKR dan cawangan-cawangan UMNO di tanah rancangan itu.
Pada tahun 1984, saya dijemput hampir setiap minggu ke rancangan Felda untuk memberikan penerangan. Diantara tempat dimana saya dihalang dari memberikan penerangan antaranya adalah di Felda Palong 8, Felda Jengka 4, Felda Jengka 23 dan Felda Jengka 15.
Halangan yang didatangkan oleh pengurus-pengurus Felda temasuk memberi amaran kepada peneroka yang menjadi tuan rumah untuk majlis penerangan bahawa mereka akan disingkir dari rancangan Felda.
Ada peneroka yang berani dan ada yang kurang berani. Peneroka-peneroka yang berani dan sanggup menghadapi risiko dengan meneruskan juga ceramah di rumah mereka.
Ada diantara mereka yang menerima notis Borang B untuk memberi sebab kenapa mereka tidak boleh disingkirkan dari rancangan Felda.
Selaku peguam, saya memberikan khidmat guaman percuma kepada mereka dan membawa kes-kes mereka ke Mahkamah Tinggi. Akhirnya mereka dibenarkan menjadi peneroka-peneroka Felda semula.
Cuba kita bayangkan, bahawa mempunyai pandangan kritikal dan mempunyai pandangan yang berbeza dengan UMNO sudah cukup untuk dijadikan alasan untuk peneroka-peneroka ini dipecat dari Rancangan Felda. Ini suatu kezaliman diluar batasan kemanusiaan.
Nama saya sudah menjadi ‘top’ pada waktu itu – iaitu sebagai seorang manusia yang tidak dikehendaki di dalam kawasan rancangan Felda.
Maklumat yang diperolehi bahawa kehadiran saya di dalam tanah rancangan Felda akan menjadi risiko keselamatan.
Saya turut menerima amaran akan ditangkap jika tidak memberhentikan aktiviti memberikan penerangan dan kegiatan menubuhkan cawangan-cawangan PAS di tanah rancangan Felda.
Sesungguhnya ramai dari kalangan peneroka Felda menyertai PAS setelah mereka menghadiri majlis-majlis penerangan itu.
Setelah hampir 30 tahun dan kini apabila saya pergi ke rancangan-rancangan Felda baik di Negeri Pahang, Negeri Sembilan atau pun Johor, ada sahaja golongan yang sudah lanjut usia menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di tanah rancangan Felda semasa saya hadir memberikan penerangan atau pun semasa saya merasmikan penubuhan cawangan-cawangan PAS di rancangan-rancangan mereka.
Apakah isunya yang saya terangkan kepada peneroka-peneroka Felda dalam majlis-majlis penerangan itu? Akan saya paparkan dihalaman blog ini setelah selesai saya menceritakan nostalgia-nostalgia tahun-tahun 80-an itu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan