Ahad, 29 Mei 2011

Anwar mahu usaha bela peneroka diteruskan oleh Anak


KERDAU, 29 Mei: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong penuh usaha yang dibuat Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang bertungkus-lumus membawa perubahan ke dalam Felda.

"Saya salute dengan Mazlan yang pakar dalam hal generasi kedua Felda ini.

"Yang dicadangkan Universiti Felda dalam buku Jingga ini memang cadangan yang cukup baik," katanya katanya dalam ceramah di Himpunan Kebangkitan Warga Felda Pahang Tapak Kompleks Pas Pahang, Kerdau malam tadi.


Tambahnya sudah sampai masanya Felda mempunyai universiti yang diuruskan tenaga mahir dari warga Felda sendiri.

"Tenaga dalaman dari Felda, hartanya tanahnya, tenaga fikirannya, profesornya semua dari Felda  untuk urus sendiri biar bebas merdeka anak Felda," katanya.

Tegas ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga, anak muda harus bangkit membawa suara perubahan dalam negara ini dan tidak harus membiarkan Umno BN mendidik mereka menjadi lesu.

"Sudah sampai masanya anak muda Malaysia bangkit tuntut perubahan.

"Orang muda dikaitkan dengan idealisma, cita-cita murni benci dengan penyelewengan, rasuah dan kemungkaran," katanya.

Beliau turut memberi suntikan semangat kepada warga Felda untuk menawan Pahang pada pilihan raya umum akan datang.

Kena susun gerak kerja dari sekarang, cari dan daftarkan ahli.

"Kita kena tawan Pahang. Siapa kata Pahang kubu kuat Umno? Kita boleh tawan Pahang kalau semua buat kerja," katanya.

Selain memansuhkan Felda Plantation, kandungan Buku Jingga juga termasuk mewujudkan Universiti Felda bagi membolehkan anak-anak peneroka melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berkaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan