Khamis, 26 Januari 2012

CARILAH UNGKAPAN YANG LEBIH ‘MOLEK’


Antara perkara yang indah yang diajar oleh Islam ialah muslim diperintahkan menggunakan perkataan-perkataan yang baik atau sekurangnya tidak keji dalam ungkapannya.

Muslim bukan seorang pencarut, atau pemaki hamun orang atau pencerca dengan kalimat-kalimat yang jelik dan keji. Lidah muslim indah, atau selamat dari kalimat-kalimat yang tidak senonoh. Dia mungkin tegas, keras amarannya, tinggi nadanya dan tajam kritikannya, tapi kalimat-kalimatnya itu terpilih; tidak lucah, tidak juga makian dan hamunan. Inilah yang Anas bin Malik ceritakan:

“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”. (riwayat al-Bukhari).

Mencerca atau memaki hamun orang lain dalam sesuatu majlis adalah perkara yang tidak baik. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir:
bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.
Barat
Di Barat ini walaupun tidak dinafikan ada kesopanannya terutama dalam pengurusan rasmi, namun vulgar language atau bahasa tidak senonoh sudah sebati dalam kehidupan harian mereka. Kalimat f*ck sentiasa di bibir. Di mana sahaja kita dengar mereka bersembang, biasanya perkataan itu akan terbit. Filem mereka, komedi mereka dan segala seni mereka akan diselitkan kalimat-kalimat jelik seperti itu.
Stand-up comedy di sini antara yang dapat sambutan hebat. Ramai yang terkenal dan kaya raya dengan idea-idea lawak mereka. Ada banyak siaran khusus untuk stand-up comedy ini. Namun kesemua lawak tidak terlepas dari perkataan kotor, lucah dan cerita lucah. Makian juga menjadi modal lawak yang mendapat tepukan gemuruh. Tuhan, agama, Jesus, orang politik dan ramai lagi menjadi mangsa maki-hamun yang melucukan pendengar.
Budaya lucah mendapat pasaran dalam masyarakat mereka. Penyanyi seperti Lady Gaga dengan segala kelucahannya mendapat tempat yang hebat. China telah senarai hitam Lady Gaga dan Katy Perry yang menjadi pujaan ramai di Barat, bahkan di pelbagai negara lain juga. Shanghai Baby novel karya Wei Hui, yang meriwayatkan kisah peribadinya yang bercampur lucah, yang telah dibakar sebanyak 40,000 naskah secara terbuka di China, tapi menjadi ‘the international bestseller’ di Barat.
Banyak nilai yang berbeza yang menyerap ke dalam kehidupan masyarakat Barat. Bayangkan apabila budaya ini berterusan dan setiap anak yang lahir dalam masyarakat ini sudah terbiasa demikian rupa. Cumanya, di atas pentas ilmu atau akademik, nampaknya bahasa mereka masih terkawal dan molek.
Lunak Dan Tegas
Saya teringat hadis apabila sekumpulan Yahudi datang bertemu Nabi s.a.w dan memberi salam dengan mengucapkan as-sam alaikum yang bermaksud ‘maut ke atas kamu’. Nabi s.a.w menjawab ‘wa alaikum’sahaja. Isteri Nabi, Aishah r.aha yang perasan dengan mainan ucapan salam mereka itu menjawab “as-sam ‘alaikum wal la’nah” maksudnya maut dan laknat ke atas kamu.
Nabi s.a.w bersabda:
“Nanti dahulu wahai Aishah! Sesungguhnya Allah suka sikap lunak dalam semua perkara”. Jawab Aishah: “Wahai Rasulullah! Engkau tidak dengarkah apa mereka kata?”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku telah pun jawab ‘wa alaikum’ (ke atas kamu)’ (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Demikian halusnya contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Jawapan ‘wa ‘alaikum’ juga satu tindak balas atas kebiadapan yahudi, namun ia bebas dari perkataan yang buruk dan keji. Kita tidak pernah menafikan bahawa Nabi s.a.w pernah bertegas dan tinggi nada suara baginda terutama ketika berkhutbah. Namun, baginda tidak memaki hamun atau melaknat orang lain, apatah lagi sesama muslim.
Malanglah jika ada yang memaki hamun orang lain lalu menyandarkan kepada Nabi s.a.w. Bertegas, tinggi nada ucapan, keras amaran tidak sama dengan mengeluarkan perkataan yang buruk dan jelek kepada orang lain. Kata Jabir r.a:
“Nabi ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi suaranya, keras marahnya, seakan baginda sedang member amaran tentang bahaya kedatangan tentera musuh” (riwayat Muslim).
Ini pun mengikut isu yang Nabi s.a.w perkatakan. Ada pelbagai riwayat tentang khutbah baginda.
Ada pula pihak yang apabila mereka memaki hamun orang lain, dia berkata: saya tiru Saidina Umar. Aduhai, nampak buruk khalifah yang mulia itu apabila menjelma dalam tindakannya. Ya, banyak riwayat menunjukkan sikap tegas dan keras Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab, namun bukan bererti dia memaki hamun.
Ada beberapa perbezaan antara beliau dengan kita semua, beliau khalifah yang ada kuasa untuk menghukum rakyat bawahan seperti memukul bagi yang melanggar kesalahan. Sedang kita tiada hak tersebut. Dimensi zaman juga tidak sama, ketika itu tindakan beliau dianggap serasi dengan cara kehidupan di zaman itu. Di zaman kita, tidak perlulah seorang perdana menteri atau presiden negara membawa tongkat memukul rakyat yang melanggar peraturan jalanraya atau seumpamanya. Undang-undang yang detil sudah wujud, mahkamah dan pihak berkuasa berperanan sepenuhnya. Itu lebih dihormati di zaman ini.
Depan Khalayak
Di sana pula ada perbezaan antara ucapan di khalayak umum dan perbualan peribadi. Ucapan buruk di khalayak umum adalah satu kempen secara langsung atau tidak kepada budaya negatif. Tidak sama dengan‘bersembang biasa’. Walaupun keduanya perlu berakhlak, namun yang dibuat depan khalayak kesan buruknya lebih besar.
Kita tidak temui dalam khutbah para khulafa’ dan insan-insan terhormat menggunakan kalimat-kalimat makian dan hamunan. Firman Allah: (maksudnya)
“dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKU (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia”. (al-Isra: 53).
Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini:
“Allah memerintah Rasulullah s.a.w memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan”. (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).
Emosi
Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan setiap kita ada emosi. Kadang-kala terlepas cakap, terkasar bahasa dan tersalah bicara. Namun, itu tidak boleh menjadi budaya lidah. Jika berlaku, ia wajar dikuti dengan penyesalan dalam diri dan memohon yang lebih baik dari Allah. Nabi s.a.w pernah berkata tentang diri baginda:
“Sesungguhnya aku manusia; aku redha seperti mana manusia redha, aku marah seperti mana manusia marah. Justeru, sesiapa sahaja di kalangan umatku yang aku doakan keburukan ke atasnya dengan sesuatu doa, sedangkan dia tidak layak maka Allah akan jadikan untuknya kesembuhan, penyucian dan perkara yang mendekatkannya dengan Allah pada Hari Kiamat nanti” (riwayat Muslim).
Jika seseorang sekali dua termaki orang, mungkin dia terlajak atau gagal kawal emosi disebabkan keadaan tertentu. Namun jika setiap kali berucap atau sering kali menjadi mainan bibir, maka itu sudah macam lelaki Ansar yang Nabi s.a.w tegur dalam majlis tersebut.
Menjadi lebih rosak jika seperti di Barat ini, perkataan buruk dan hodoh itu menjadi satu lawak jenaka yang mendapat sambutan yang gemuruh. Ini mungkin disebabkan jiwa mereka kosong lalu mereka ingin pengisian. Mereka rasa lawak jenaka kasar itu mengubat kekosongan jiwa. Demikian mereka tersalah mengenai rohani insani. Demikian juga ada muslim yang tersilap apabila merasakan duduk mendengar lawak yang bercampur kebiadaban itu sesuatu yang mengisi kekosongan jiwa.
Yang baik tidak sama dengan yang buruk. Allah mengingatkan kita: (maksudnya)
“dan tidaklah sama antara yang baik dan yang jahat. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau buat demikian maka orang ada permusuhan terhadapmu, seolah-olah menjadi seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diamalkan melainkan oleh orang-orang mempunyai kedudukan yang besar (dunia dan akhirat). (Fussilat: 34-35)
Kita semua rindu ingin mengikuti ajaran al-Quran. Kita tahu kita sering gagal, namun kita tetap menyatakan yang teragung itu adalah panduan al-Quran. Kita cuba sedayanya. Jangan apabila kita melakukan yang sebaliknya, kita justifikasikan tindakan kita sehingga menafikan keunggulan al-Quran. Jangan pula kita jadi seperti sesetengah yang berkata ‘puak yang menentang kita pun teruk, kita balas la’. Mengapakah kita jadikan musuh yang kita rasa tersasar dari landasan yang betul sebagai piawaian yang menjadi panduan dalam tindakan?!
Bahasa yang baik Allah suka. Kita mungkin ada kelemahan diri, namun jangan kita zahir dalam bahasa yang hodoh dan penuh dengan cacian dan makian. Bahasa yang baik akan dirahmati Tuhan, bahasa yang jelek akan menimbulkan kekerasan dalam perasaan dan nurani. Diriku dan sahabat sekelian, mari kita cari perkataan yang lebih molek dalam berinteraksi antara kita.

Dalam diam DAP melakukan transformasi



20 JAN 
— Pada ketika Umno masih belum selesai dengan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperbesarkan isu pemecatan Datuk Dr Hasan Ali dan memanipulasi isu pengambilan portfolio agama Islam oleh MB Selangor, dalam diam DAP memperkukuhkan partinya.
Hari ini Umno dikejutkan lagi dengan berita penyertaan Hata Wahari, bekas wartawan Utusan Malaysia dan mantan Presiden NUJ kedalam parti tersebut.
Sebelum ini dua orang blogger, Aspan Alias dan Datuk Mohd Arif Sabri — juga veteran Umno —menyertai parti yang digambarkan oleh Utusan Malaysia sebagai “chauvinis Cina”.
Ironinya, Hata Wahari memilih untuk menyertai DAP walaupun majikan lamanya, Utusan Malaysia paling kuat menghentam parti yang menguasai Pulau Pinang itu.
Apakah yang bakal dikatakan oleh lidah pengarang Utusan Malaysia untuk menjawab penyertaan Hata Wahari ke dalam DAP?
Apatah lagi pada ketika Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang baru sahaja memenangi saman fitnah terhadap Utusan Malaysia. Utusan Malaysia di-ibarat “sudahlah jatuh ditimpa tangga pula”.
Dikala ramai yang menyangka Hata Wahari akan menyertai PKR, mantan Presiden NUJ itu mengejutkan ramai pihak. Hata mungkin nampak perubahan besar yang telah berlaku dalam “mindset” DAP.

Pengajaran PRU 12
PRU 12 merupakan pendidikan politik yang terbaik kepada DAP. Pada ketika itu, negeri Perak jatuh dan DAP mempunyai kerusi terbesar berbanding PKR dan PAS.
Akan tetapi, oleh kerana Undang-undang Tubuh Negeri Perak mensyaratkan Menteri Besar perlulah dari kalangan orang Melayu yang beragama Islam, DAP terpaksa akur dan menyerahkan kerusi MB kepada PAS.
Tindakan tersebut dilakukan dengan secara terpaksa oleh kerana DAP sendiri pada ketika itu tidak pernah terfikir bahawa negeri Perak akan tumbang.
Pengalaman mendewasakan manusia. Begitu juga parti politik. Selepas PRU 2008, sedikit demi sedikit orang-orang Melayu dibawa masuk menyertai DAP.
Ini adalah penting untuk menghakis imej “chauvinis Cina” yang dilemparkan terhadap parti tersebut.
Dengan kemasukan tokoh-tokoh seperti Tunku Aziz, Aspan Alias, Arif Sabri dan Hata Wahari, dipercayai lebih ramai orang-orang Melayu akan menyertai DAP selepas ini.
Dari segi sokongan rakyat, DAP kini berada dalam keadaan kuat dengan sokongan tidak berbelah bagi masyarakat Cina terhadap mereka. Jika sokongan orang-orang Melayu dapat dimenangi oleh DAP, parti tersebut akan menjadi semakin kuat berbanding rakan-rakan Pakatan Rakyat seperti PKR dan PAS.
Cabaran terbesar DAP
Di kalangan orang-orang Melayu terutamanya di kawasan pendalaman, DAP masih lagi “momok” yang menakutkan mereka. Tambahan lagi apabila media yang dapat diakses hanyalah Utusan Malaysia dan TV3.
Makin takutlah orang-orang Melayu terhadap DAP. Tokoh-tokoh Melayu yang baru menyertai DAP ini akan diberikan peranan untuk memenangi hati orang-orang Melayu.
Bagaimana untuk melakukan itu? Inilah cabaran terbesar yang akan digalang oleh tokoh-tokoh Melayu ini. Dalam jangkamasa terdekat, mungkin tidak banyak yang boleh dilakukan.
Akan tetapi, jika DAP serius mahu mentransformasikan parti tersebut kepada parti yang benar-benar “Malaysian”, dalam jangkamasa panjang ianya boleh dilakukan.
Kestabilan kerajaan Pulau Pinang dibawah pimpinan Lim Guan Eng seringkali disebut-sebut sebagai negeri terbaik yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.
Walaupun diasak secara bertalu-talu oleh “geng mamak” — yang kecewa kerana tidak lagi memonopoli kontrak kerajaan negeri dan media arus perdana, Pulau Pinang tetap “tegak” dibawah Guan Eng.
Dengan nasihat yang diberikan oleh Mohamad Sabu — sahabat baik Ketua Menteri Pulau Pinang semasa dalam tahanan ISA, imej DAP dikalangan orang-orang Melayu di Pulau Pinang semakin positif.
DAP sedar, jika gagal mendapatkan sokongan majoriti orang-orang Melayu, tidak mungkin mereka akan dapat memerintah Malaysia.
Apa yang diperlukan oleh DAP sekarang ialah bukan sahaja kemasukan tokoh-tokoh Melayu kedalam parti tersebut akan tetapi sebuah program politik yang menyakinkan orang-orang Melayu terhadap mereka.
Jika ini dapat diselesaikan, tidak mustahil satu hari nanti perdana menteri Malaysia akan datang dari DAP.

Sedang asyik melihat "updates" dari teman-teman Facebook, tiba-tiba ternampak video di atas. Lagu bertajuk "Jiwa Lara" nyanyian Datin Seri Rosmah Mansor dan Mawi.


Indah lagu ciptaan Pak Ngah dan lirik yang ditulis oleh Siso (Kopratasa). Kemunculan Rosmah menyanyikan lagu tersebut menimbulkan kontroversi. Ramai yang "share" kan video ini di Facebook mereka. 


Macam-macam komen tentang Facebook tersebut. Yang mengutuk paling ramai. Kadangkala saya terfikir, siapalah "consultant" yang dibayar untuk menaikkan imej isteri kepada Datuk Seri Najib Razak itu? 


Apakah dengan keluarnya video nyanyian Rosmah dan Mawi ini akan menaikkan imej beliau (Rosmah) dan sekaligus memberikan kemenangan besar kepada BN dalam PRU akan datang?


Atau ini adalah salah satu nasihat atau konsultasi yang membawa rebah? Sedangkan sejarah negara jiran kita Filipina telah membuktikan imej Imelda Marcos diantara yang menyumbang kepada kejatuhan regim Ferdinand Marcos.


Teringat pula kepada tulisan Dr. Asri yang bertajuk, "Tun Siti Tak Menyibuk"

Isnin, 23 Januari 2012

Pemberian Wang RM500 Rasuah Politik Yang Halal?

Pemberiaan wang bantuan dengan nama (BR1M) bernilai RM500 kepada rakyat yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan rancak dilakukan di seluruh negara. Rakyat yang tinggal di beberapa kawasan yang melibatkan menteri, timbalan menteri atau orang utama dalam Umno sudah pun mulai menerima wang berkenaan.

Pembahagian itu dijangka akan selesai sepenuhnya menjelang pembubaran parlimen nanti. Setakat ini pembahagian wang itu berjalan lancar walaupun ada beberapa lokasi timbul kekcohan disebabkan salah 'teknik'. Kekacauan sampai baling kerusi, tumbuk menumbuk dan koyak boucher berlaku apabila ada rakyat yang berhak menerima dinafikan kerana dokumen mereka tidak lengkap atau pun tiada pengesahan.

Aduh... begitu ketat sekali untuk memberi bantuan sejemput kera kepada rakyat itu. Sebelum ini timbul persoalan siapa yang bertanggungjawab atau pun valid untuk mengesahkan borang kelayakan itu. Wang itu adalah wang rakyat - wang kerajaan, di mana ianya sepatutnya hanya disahkan oleh agensi kerajaan. Tetapi yang anihnya ada sesetengah tempat memerlukan pengesahan dari ketua Umno Bahagian atau PPM.

Semoga kerajaan akan memantau perkara ini dan tidak membiarkan penyalahgunaan kuasa dan prosuder berleluasa serta ketidakadilan dalam menyampaikan bantuan ini. Soal-soal titik bengit begitu memerlukan pengesahan JKKK, ketua bahagian ataupun ada rekmen orang kuat Umno usahlah diambil berat sangat. Yang penting rakyat dapat menikmati wang kerajaan itu dengan sewajarnya.

Pemberian wang itu adalah sesuatu yang baik untuk meringkan beban rakyat. Walaupun ianya hanya sejemput kera setidak-tidak rakyat miskin dapat menggunakan wang berkenaan untuk membeli budu dan geram atau airskrim untuk anak-anak dan cucu cicit. Terimalah. Ia tidak menjadi kesalahan. Dan penerimaannya tidak terikat anda kena undi siapa dan parti mana.

Rakyat perlu seadar bahawa wang itu bukan dari sakut Umno. Jauh sekali dari begtangan Rosmah Mansor. Ia adalah wang rakyat yang tolong dikumpul oleh kerajaan dari pelbagai cukai dan potongan, atau diambil dari mana-mana wang yang diperuntukkan untuk rakyat. Wang itu tidak salah dan tidak pun berdosa seperti mana wang dari pusat-pusat perjudian atau pun hasil rasuah yang telah, sedang dan akan dibahagi-bahagikan semasa pilihan raya kelak.

Pun begitu Umno telah mengeksploitasikan pemberian wang itu sebagai jasa mereka. Mendakwa wang itu adalah bdi dan bakti mereka. Kepada rakyat yang buta huruf dan rendah akal politiknya di kampung-kampung dihebuhkan itu sebagai wang Umno. Wang itu menandakan keprihatinan Najib Razak sebagai perdana menteri. Memang ia adalah atas keprihatinan Najib sebagai perdana menteri, tetapi wang itu bukan dari Umno tetapi dari akaun kerajaan. Kerajaan dan Umno dua perkara yang berbeza yang sering kali dikelirukan oleh broker-broker Umno.

Bukan saja Najib, sesiapa yang menjadi perdana menteri dan menteri kewangan boleh mengarahkan untuk memberi wang kepada rakyat. Hendak dengan tidak sahaja. Masa Dr Mahathir dan Abdullah Badawi jadi PM, mereka juga boleh berbuat demikian, kerana wang itu tidak perlu ambil dari akaun mereka. Tetapi Mahathir dan Abdullah tidak sampai ke peringkat itu untuk membeli undi rakyat marhain.

Mungkin kalau Pakatan Rakyat memerintah Malaysia wang bantuan seumpama itu lebih banyak lagi dan lebih kerap dipulangkan kepada rakyat sebab mereka akan membuat potongan terhadap wang-wang yang disalahgunakan dan disonglap oleh kerajaan kini untuk kepentingan segelintir rakyat.

Kenapa Najib berbuat demikian bukan semata-mata kerana baik hatinya. Tetapi ia ada motif. Suka tidak suka, faham tidak faham pemberian wang RM500 itu yang diluluskan dalam Bajet 2012 adalah bermotifkan politik. Wang RM500 adalah rasuah politik, umpan untuk meminta rakyat mengundi UBN dalam pilihan raya nanti.

Kenapa dikatakan begitu kerana kerajaan sengaja memilih saat pilihan raya hendak diadakan baru wang itu diberikan kepada rakyat. Baru susah-susah hendak membantu rakyat. Dan ia dikenakan syarat-syarat tertentu bertujuan untuk mendenda rakyat. Bolehlah disifatkan wang RM500 adalah wang rasuah halal dilakukan UBN untuk meraih sokongan.

Kenapa dikatakan rasuah halal kerana ia dilakukan di luar edah pilihan raya dan digunakan wang kerajaan atas nama hendak membantu rakyat. Kerajaan boleh memberi apa saja kepada rakyat atas apa juga nama kerana ia tidak tertakluk di bawah peraturan dan mana-mana kesalahan. Walhal orang yang faham cara dan masa wang itu dilunaskan jelas rasuah politik.

Biarlah rasuah atau tidak, asalkan rakyat dapat membeli kacang butir, budu dan garam dengan wang itu. Terima dan ambillah. Bukan itu saja kalau ada apa-apa tawaran dan pemberian percuma dari kerajaan selepas ini, ambillah dengan senang hati.

Persoalan kini apakah UBN khasnya Najib merasakan apa yang dilakukan itu bakal memberi pulangan lumayan kepadanya. Apakah rakyat akan terpesona dengan pemberian RM500 itu kemudian akan mengundi UBN dalam pilhan raya nanti? Ini yang menarik untuk dinilai dan diperkatakan.

Adalah salah kalau Najib berharap dan membuat hisab demikian. Bagi saya tidak sampai 50 peratus rakyat yang menerima wang itu akan membalas dengan mengundi UBN. Kenapa dikatakan begitu? Kerana rakyat sudah faham kedudukan wang itu dan juga sudah mengetahui tektik dan strategi UBN yang memperalatkan harta kerajaan itu. Pemberian wang kerjaan dengan cara dan nawaitu itu telah menyalahkan dana kerajaan untuk rakyat.

Dana itu haus diberi tanpa mengharap apa-apa balasan dan dipersulitkan dengan mengenakan syarat-syarat dan peraturan tertentu. Kalau kerajaan tulus dan ikhlas wang itu boleh dikredit terus ke dalam akaun rakyat tidak payah rakyat berjumpa mata dengan kerajaan dan mendengar tazkirah politik sejam-jam sebelum menerima bouchernya.

Rakyat juga akan bertanya kenapa baru kini kerajaan baik hati untuk memberikan mereka bantuan dalam bentuk tunai sebanyak RM500. Sudah lebih 50 tahun datuk nenek mereka berada dalam naungan kerajaan BN tetapi tidak pernah mereka mendapat wang nasib baik itu?

Jadi apabila hari ini baru diberikan, baru kerajaan bersikap baik dan berbudi menyebabkan mereka akan menilai akan budi itu? Mereka akan menyelami apakah motif di sebalik wang RM500 itu yang akhirnya mereka sedari ianya hanya cacing yang disangkut joran sahaja dan bukan merupakan kebajikan ikhlas dari kerajaan.

Mungkin ada rakyat yang faham kenapa sekarang kerajaan bersikap baik ialah kerana keadaan UBN sudah begitut terdesak. Mereka sudah tahu usia kekuasaan mereka akan tamat bila-bila masa saja lagi. Sekiranya tidak ada berbagai-bagai plan penyelamat termasuk membeli undi mereka akan hanyut.

UBN mungkin akan tumbang dan ghaiab. Justeru walaupun cara mereka itu salah dan bertentangan dengan semangat demokrasi mereka tidak peduli. Yang penting kuasa dapat diselamatkan dan untuk menyelamatkan kuasa rakyat kena dibeli.

Langkah kerajaan UBN itu sia-sia saja. RM500 tidak akan dapat menyelamatkan kedudukan mereka yang bagaikan telor di hujung tanduk kini. Rakyat dapat manfaat sejemput kera tetapi kerajaan UBN akan rugi selaut kuasa.

Sebab itu pihak Pakatan Rakyat kelihatan tidak begitu risau dengan pemberian itu. Rakyat sudah faham dan arif dan bagaimana untuk menggunakan wang RM500 itu. Pemberian itu baik juga, rakyat boleh menggunakan wang RM500 itu untuk membeli minyak petrol untuk pergi ke majlis ceramah Pakatan Raykat. Atau pun guna wang itu untuk membeli bendera, buat banner ataupun peralatan-peralatan menghadapi pilihan raya.

Justeru rakyat perlu berterima kasih kepada pemberian wang itu tetapi rakyat tidak perlu membayar terima kasih dengan mengundi pihak yang mengharapkan pemberian itu agar rakyat mengundi mereka. Dari satu segi pemberian RM500 itu juga helah UBN untuk mengelabui mata rakyat bahawa mereka (UBN) telah melakukan kebajikan kepada rakyat. Bolehlah dikatakan aspirasi untuk memberi wang itu datangnya dari Pas yang telah melancar gagasan politik Negara Berkebajikan. [wm.kl.11:40 am 23/01/12]

Sabtu, 14 Januari 2012


Tawaran Jingga Pakatan Rakyat – ‘Bersihkan Malaysia’


Di ambang pilihanraya umum ke-13 (PRU 13), negara kembali berdepan dengan pelbagai kemelut dan suasana krisis hasil langsung dari urus-tadbir dan tata-kelola sebuah pemerintahan yang tempang. Sebuah kerajaan yang tidak benar-benar komited untuk mensejahterakan rakyat seluruhnya bahkan meletakkan keutamaannya untuk membela suku-sakat kroni dan membolot kekayaan negara untuk segelintir kelompok penguasa, lazimnya akan berakhir dengan kehidupan rakyat yang serba terhempit dan ternafi dari mengecapi kekayaan dan kemakmuran negara.

Justeru, jurang antara kaya-miskin tampak semakin melebar, kesenjangan pembangunan antara bandar-desa, antara pantai Barat Semenanjung dan negeri pantai Timur-Utara, serta Sabah-Sarawak semakin ketara. Begitu juga hal hutang negara, khasnya hutang awam (Kerajaan Persekutuan) terus membengkak, daya-saing terus menjunam, ‘brain-drain’ tidak mampu disekat, ketirisan akibat rasuah dan salahguna kuasa dalam sistem ‘delivery’ berulang setiap tahun dan ekonomi terdedah kepada ancaman kebankrapan hasil pengurusan dan defisit fiskal yang tidak mematuhi tuntutan amalan terbaik-best practice- dan prinsip tata-kelola kewangan pruden.

Lebih parah lagi kerana krisis ini bukan sahaja menyinggung aspek ekonomi dan kewangan akan tetapi melingkungi seluruh dimensi kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Kebrentakan ini terpapar jelas dengan pelbagai pola-pola persengkataan yang semakin tajam dan mendalam, di segi pertentangan ras-perkauman, tuntutan kelompok pendukung agama secara sempit dan kelompangan atau ‘lacuna’ bidang kuasa legal dan perundangan yang  kerap disemarakkan api kefanatikan dan kejumudan politik perkauman.
Sementara itu fungsi institusi-institusi kritikal terus terkorban dari berperanan menjadi penyemak-imbang utama yang berkesan kerana terlalu tunduk dan dibelenggui penguasa Eksekutif yang angkuh dan rakus memusatkan dan merampas bidang wewenangan kuasa cabang Judisiari dan Legislatif yang terus dimandulkan.
Tegasnya seteru politik kita, Umno-BN telah merosakkan dan menodai institusi-institusi kritikal negara –“An Assault on the Nation” yang sekaligus telah menatijahkan “Kereputan Sistem” atau “Systemic Rot”secara menyeluruh.
Suasana ini cukup ngeri dan amat menakutkan, andainya ia berterusan kerana pastinya bakal menggagalkan usaha gigih pelbagai pihak untuk mendayakan negara supaya mampu bersaing dalam arus persaingan global dan serantau yang semakin sengit sekaligus mengancam kesinambungan negara sebagai yang bermaruah, berdaulat  dan punya daya-juang dan daya saing yang tinggi.
Berdepan dengan lingkaran krisis yang tidak berhujung ini dan setelah menekuni serta mengenalpasti punca-sebab gejala kebrentakan ini, maka Pakatan Rakyat tampil dengan satu ‘Tawaran Jingga’ untuk mengundang seluruh rakyat dan pemilik penting-‘critical stakeholders’ negara ini, agar turut bersama-sama dalam satu gagasan “Membersihkan Malaysia” dari pelbagai kekotoran pengurusan pemerintahan Umno-BN supaya akhirnya kemakmuran dan sumber kekayaan negara mampu dikecapi, dinikmati dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat di negara bertuah ini.
Inilah ertinya ‘Merakyatkan Kemakmuran Untuk Semua” dalam satu permufakatan mulia, perkongsian murni dan persefahaman mendalam tuntutan kepelbagaian agama dan budaya agar mampu menghayati sunggguh-sungguh slogan - “Sharing The Nation” – “Bersama Mengecapi Kemakmuran Negara” .
Tawaran Jingga – Huraian Pendekatan
Sesungguhnya, pembentangan ‘Tawaran Jingga’ ini hanyalah satu prelude kepada ‘Tawaran Manifesto’ Pakatan Rakyat. Tawaran Jingga ini sekadar menerangkan perbezaan pendekatan Pakatan Rakyat berbanding Umno-Barisan Nasional.
Pendekatan pihak lawan yang bersifat menampilkan ungkapan pelbagai akronim ajaib yang sebenarnya mengusutkan fikiran bermula dengan NKRA, NKEA, PTK (GTP), SRI, NEM (MEB), ETP, EPP dan panjang lagi kalau dimasukkan agensi-agensi pelaksananya  MAMPU, Pemandu, Pemudah, kini TERAJU yang kesemuanya boleh dibawa kepada satu lagi yakni ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) ketika sakit dan nazak.
Saya yakin keseluruhan akronim ini dan tindih-tindannya tidak difahami sendiri oleh ramai menteri termasuk YAB PM, kecuali dua menteri pintu belakang (senator) di Jabatan Perdana Menteri itu..yang sentiasa bersedia memberi kuliah yang panjang ketika ditanya sikit oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan (dan juga BN) di Dewan Rakyat. Inilah dia Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang sangat dihajati oleh PM Najib.
Sesungguhnya tidak akan dapat dilakukan Transformasi kecuali dirancang, dilaksana dan diurus program ‘Reformasi Menyeluruh’ dalam menangani ‘kereputan sistem’ yang dirobek dan dinodai regim Umno-Barisan Nasional.
Tawaran Jingga kami pula merumuskan pendekatan “Political Economy”[1] atau pendekatan yang benar-benar mencerakinkan kembali kebijakan disiplin ekonomi ini dalam menggarap tuntutan Politik.
Ia adalah disiplin atau bidang ekonomi yang membicarakan bagaimana “keputusan politik mempengaruhi bidang ekonomi atau economic outcomes” atau dengan kata lain mudahnya  “Perubahan Ekonomi atau ‘Economic Changes’ hanya akan dapat dipacu dan direalisasikan dengan bersekali dilakukan oleh sesebuah kerajaan akan ‘Reformasi Politik’. Sebaliknya pula bagaimana cita-cita “Transformasi Ekonomi” akan gagal dihambat oleh “Kekangan Realiti Politik” sperti yang jelas berlaku dalam pemerintahan Umno-BN.
Ini jelas apa yang telah berlaku dalam pendekatan BN yang masih terus tercari-cari pendekatan yang konsisten. Sebab itu Najib selalu berbolak-balik atau flip-flopping atau ‘zigg-zaging’. Najib hampir dinobatkan sebagai the “Father of Flip-Floppers” justeru kerana sikapnya yang kerap tidak tetap. Terlalu banyak contoh yang boleh dibariskan termasuk hal urusan ekonomi seperti EOC dalam MEB (NEM) atau menangani BERSIH 2.0 dan banyak lagi.
Sebab itu dalam NKRA dan PTK (GTP), Najib tidak langsung memberikan kepentingan kepada asepk reformasi politik. Bila baru celik kepentingan Reformasi Politik dan Perlembagaan? Bila digempur dek BERSIH2.0! Hanya selepas 709 BERSIH2.0, Najib terhegeh-hegeh bercakap tentang menangani tuntutan Politik Baru dan membatalkan 3 Ordinan Dharurat (1966, 1969 & 1977), membatalkan Akta HukumanBuang Daerah 1959; dan mula bercakap tentang memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tembelang Najib terdedah apabila cakap-cakap menteri JPM mendahului beliau apabila mereka menyebut tentang mengantikan ISA yang dua-kali lima juga akalu tidak lebih drakormian lagi.
Maka sebagai pendekatan Pakatan Rakyat, kami cenderung untuk mengambil pendekatan ini yang mengiktiraf bahawa masalah ekonomi akan hanya dapat digarap bersekali dengan reformasi politik. Seteru politik kita pada asalnya tidak mahu mengiktiraf ini. Hanya mutakhir setelah serik kita berpekik baharulah mereka faham.
Tegasnya ‘Tawaran Jingga’ adalah penyelesaian krisis negara secara bersepadu dan menyeluruh. Tawaran Jingga[2] adalah perumusan penyelesaian komprehensif bagi menangani segala krisis yang juga sifatnya ‘menyeluruh dan sempurna’ bukan sahaja dari aspek kebobrokan pengurusan fiskal dan ekonomi.
Sebab itu kebobrokan rasuah, salahguna kuasa dan segala kebejatan penguasa dan elit bisnes yang rakus mesti ditangani dengan reformasi politik, perundangan serta keinsafan moral dan agama. Umno- BN tidak faham atau buat-buat tidak faham. Sebab itu kebejatan rasuah dan salah guna kuasa kini dilambang dengan NFC-Lembu dalam Kondo persis membayangkan kegagalan Transformasi Kerajaan Najib!
Tawaran Jingga kami berkisar di sekitar mencapai Dasar-Dasar Bersama:
  1. Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat (Reformasi Politik)
  2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil (Reformasi Ekonomi)
  3. Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh (Reformasi Sosial)
  4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara (Government-Governance-Federalisme).
Sebagai prelude kepada Manifesto Pakatan Rakyat, Tawaran Jingga telah cuba mengingatkan semua bahawa pendekatan kami bukan sahaja menambahbaik kerosakan dan kepincangan yang telah dilakukan oleh regim yang lalu.
Tawaran Jingga bakal didedahkan dari masa ke semasa yang akan memuatkan rencana dasar, polisi dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing ini. Dalam Konvensyen ini, beberapa perkongsian awal tentang i. Dasar FELDA Pakatan Rakyat, ii. Dasar Anti-Monopoli Pakatan Rakyat iii. Dasar Pengukuhan Federalism Pakatan Rakyat iv.Dasar Memperkasakan Perkhidmatan Awam Pakatan Rakyat
Oleh kerana tarikh PRU ke-13 masih sukar diramalkan oleh pundit politik, maka Manifesto Pakatan juga perlu dirahsiakan sehingga ke satu tarikh yang ditentukan kemudian.
Kami bersedia mendengar maklum-balas dari semua pihak agar perumusan penyelesaian kami dalam Tawaran Jingga dan Manifesto PR nanti akan menjadi lebih mentap dan padu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Jingga Pakatan Rakyat.
Konvensyen Pakatan Rakyat kali-3.
Alor Star, Kedah.
14 hb Januari 2012.

[1] ‘Political Economy’ bukanlah bidang baru bahkan hampir sama usia dengan bidang ekonomi itu sendiri. Adalah diakui bahawa penulisan ‘seminal-agung’ Adam Smith – Wealth of Nation (1776) itu sendiri adalah bicara “Political Economy” begitu juga penulisan John Stuart Mill – Principles of Political Economy (1848).
[2] Tawaran ‘Negara Berkebajikan’ PAS memulakan paksi penyelesaian dengan premis peranan sebagai “Amanah kepada Tuhan sebagai Khalifah Allah di muka bumi dan menganggap segala perbuatan rasuah, salahguna kuasa dan ketirisan adalah perlakuan dosa terhadap Allah dan kerosakan (Al-Khusraan) yang dilakuan oleh Penguasa yang rakus sebagai perbuatan fasiq dan khianat terhadap Amanah Allah dan Mandat Rakyat.

Mat Sabu BN Takut Bebaskan Media