Sabtu, 14 Januari 2012

Tawaran Jingga Pakatan Rakyat – ‘Bersihkan Malaysia’


Di ambang pilihanraya umum ke-13 (PRU 13), negara kembali berdepan dengan pelbagai kemelut dan suasana krisis hasil langsung dari urus-tadbir dan tata-kelola sebuah pemerintahan yang tempang. Sebuah kerajaan yang tidak benar-benar komited untuk mensejahterakan rakyat seluruhnya bahkan meletakkan keutamaannya untuk membela suku-sakat kroni dan membolot kekayaan negara untuk segelintir kelompok penguasa, lazimnya akan berakhir dengan kehidupan rakyat yang serba terhempit dan ternafi dari mengecapi kekayaan dan kemakmuran negara.

Justeru, jurang antara kaya-miskin tampak semakin melebar, kesenjangan pembangunan antara bandar-desa, antara pantai Barat Semenanjung dan negeri pantai Timur-Utara, serta Sabah-Sarawak semakin ketara. Begitu juga hal hutang negara, khasnya hutang awam (Kerajaan Persekutuan) terus membengkak, daya-saing terus menjunam, ‘brain-drain’ tidak mampu disekat, ketirisan akibat rasuah dan salahguna kuasa dalam sistem ‘delivery’ berulang setiap tahun dan ekonomi terdedah kepada ancaman kebankrapan hasil pengurusan dan defisit fiskal yang tidak mematuhi tuntutan amalan terbaik-best practice- dan prinsip tata-kelola kewangan pruden.

Lebih parah lagi kerana krisis ini bukan sahaja menyinggung aspek ekonomi dan kewangan akan tetapi melingkungi seluruh dimensi kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Kebrentakan ini terpapar jelas dengan pelbagai pola-pola persengkataan yang semakin tajam dan mendalam, di segi pertentangan ras-perkauman, tuntutan kelompok pendukung agama secara sempit dan kelompangan atau ‘lacuna’ bidang kuasa legal dan perundangan yang  kerap disemarakkan api kefanatikan dan kejumudan politik perkauman.
Sementara itu fungsi institusi-institusi kritikal terus terkorban dari berperanan menjadi penyemak-imbang utama yang berkesan kerana terlalu tunduk dan dibelenggui penguasa Eksekutif yang angkuh dan rakus memusatkan dan merampas bidang wewenangan kuasa cabang Judisiari dan Legislatif yang terus dimandulkan.
Tegasnya seteru politik kita, Umno-BN telah merosakkan dan menodai institusi-institusi kritikal negara –“An Assault on the Nation” yang sekaligus telah menatijahkan “Kereputan Sistem” atau “Systemic Rot”secara menyeluruh.
Suasana ini cukup ngeri dan amat menakutkan, andainya ia berterusan kerana pastinya bakal menggagalkan usaha gigih pelbagai pihak untuk mendayakan negara supaya mampu bersaing dalam arus persaingan global dan serantau yang semakin sengit sekaligus mengancam kesinambungan negara sebagai yang bermaruah, berdaulat  dan punya daya-juang dan daya saing yang tinggi.
Berdepan dengan lingkaran krisis yang tidak berhujung ini dan setelah menekuni serta mengenalpasti punca-sebab gejala kebrentakan ini, maka Pakatan Rakyat tampil dengan satu ‘Tawaran Jingga’ untuk mengundang seluruh rakyat dan pemilik penting-‘critical stakeholders’ negara ini, agar turut bersama-sama dalam satu gagasan “Membersihkan Malaysia” dari pelbagai kekotoran pengurusan pemerintahan Umno-BN supaya akhirnya kemakmuran dan sumber kekayaan negara mampu dikecapi, dinikmati dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat di negara bertuah ini.
Inilah ertinya ‘Merakyatkan Kemakmuran Untuk Semua” dalam satu permufakatan mulia, perkongsian murni dan persefahaman mendalam tuntutan kepelbagaian agama dan budaya agar mampu menghayati sunggguh-sungguh slogan - “Sharing The Nation” – “Bersama Mengecapi Kemakmuran Negara” .
Tawaran Jingga – Huraian Pendekatan
Sesungguhnya, pembentangan ‘Tawaran Jingga’ ini hanyalah satu prelude kepada ‘Tawaran Manifesto’ Pakatan Rakyat. Tawaran Jingga ini sekadar menerangkan perbezaan pendekatan Pakatan Rakyat berbanding Umno-Barisan Nasional.
Pendekatan pihak lawan yang bersifat menampilkan ungkapan pelbagai akronim ajaib yang sebenarnya mengusutkan fikiran bermula dengan NKRA, NKEA, PTK (GTP), SRI, NEM (MEB), ETP, EPP dan panjang lagi kalau dimasukkan agensi-agensi pelaksananya  MAMPU, Pemandu, Pemudah, kini TERAJU yang kesemuanya boleh dibawa kepada satu lagi yakni ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) ketika sakit dan nazak.
Saya yakin keseluruhan akronim ini dan tindih-tindannya tidak difahami sendiri oleh ramai menteri termasuk YAB PM, kecuali dua menteri pintu belakang (senator) di Jabatan Perdana Menteri itu..yang sentiasa bersedia memberi kuliah yang panjang ketika ditanya sikit oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan (dan juga BN) di Dewan Rakyat. Inilah dia Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang sangat dihajati oleh PM Najib.
Sesungguhnya tidak akan dapat dilakukan Transformasi kecuali dirancang, dilaksana dan diurus program ‘Reformasi Menyeluruh’ dalam menangani ‘kereputan sistem’ yang dirobek dan dinodai regim Umno-Barisan Nasional.
Tawaran Jingga kami pula merumuskan pendekatan “Political Economy”[1] atau pendekatan yang benar-benar mencerakinkan kembali kebijakan disiplin ekonomi ini dalam menggarap tuntutan Politik.
Ia adalah disiplin atau bidang ekonomi yang membicarakan bagaimana “keputusan politik mempengaruhi bidang ekonomi atau economic outcomes” atau dengan kata lain mudahnya  “Perubahan Ekonomi atau ‘Economic Changes’ hanya akan dapat dipacu dan direalisasikan dengan bersekali dilakukan oleh sesebuah kerajaan akan ‘Reformasi Politik’. Sebaliknya pula bagaimana cita-cita “Transformasi Ekonomi” akan gagal dihambat oleh “Kekangan Realiti Politik” sperti yang jelas berlaku dalam pemerintahan Umno-BN.
Ini jelas apa yang telah berlaku dalam pendekatan BN yang masih terus tercari-cari pendekatan yang konsisten. Sebab itu Najib selalu berbolak-balik atau flip-flopping atau ‘zigg-zaging’. Najib hampir dinobatkan sebagai the “Father of Flip-Floppers” justeru kerana sikapnya yang kerap tidak tetap. Terlalu banyak contoh yang boleh dibariskan termasuk hal urusan ekonomi seperti EOC dalam MEB (NEM) atau menangani BERSIH 2.0 dan banyak lagi.
Sebab itu dalam NKRA dan PTK (GTP), Najib tidak langsung memberikan kepentingan kepada asepk reformasi politik. Bila baru celik kepentingan Reformasi Politik dan Perlembagaan? Bila digempur dek BERSIH2.0! Hanya selepas 709 BERSIH2.0, Najib terhegeh-hegeh bercakap tentang menangani tuntutan Politik Baru dan membatalkan 3 Ordinan Dharurat (1966, 1969 & 1977), membatalkan Akta HukumanBuang Daerah 1959; dan mula bercakap tentang memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tembelang Najib terdedah apabila cakap-cakap menteri JPM mendahului beliau apabila mereka menyebut tentang mengantikan ISA yang dua-kali lima juga akalu tidak lebih drakormian lagi.
Maka sebagai pendekatan Pakatan Rakyat, kami cenderung untuk mengambil pendekatan ini yang mengiktiraf bahawa masalah ekonomi akan hanya dapat digarap bersekali dengan reformasi politik. Seteru politik kita pada asalnya tidak mahu mengiktiraf ini. Hanya mutakhir setelah serik kita berpekik baharulah mereka faham.
Tegasnya ‘Tawaran Jingga’ adalah penyelesaian krisis negara secara bersepadu dan menyeluruh. Tawaran Jingga[2] adalah perumusan penyelesaian komprehensif bagi menangani segala krisis yang juga sifatnya ‘menyeluruh dan sempurna’ bukan sahaja dari aspek kebobrokan pengurusan fiskal dan ekonomi.
Sebab itu kebobrokan rasuah, salahguna kuasa dan segala kebejatan penguasa dan elit bisnes yang rakus mesti ditangani dengan reformasi politik, perundangan serta keinsafan moral dan agama. Umno- BN tidak faham atau buat-buat tidak faham. Sebab itu kebejatan rasuah dan salah guna kuasa kini dilambang dengan NFC-Lembu dalam Kondo persis membayangkan kegagalan Transformasi Kerajaan Najib!
Tawaran Jingga kami berkisar di sekitar mencapai Dasar-Dasar Bersama:
  1. Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat (Reformasi Politik)
  2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil (Reformasi Ekonomi)
  3. Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh (Reformasi Sosial)
  4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara (Government-Governance-Federalisme).
Sebagai prelude kepada Manifesto Pakatan Rakyat, Tawaran Jingga telah cuba mengingatkan semua bahawa pendekatan kami bukan sahaja menambahbaik kerosakan dan kepincangan yang telah dilakukan oleh regim yang lalu.
Tawaran Jingga bakal didedahkan dari masa ke semasa yang akan memuatkan rencana dasar, polisi dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing ini. Dalam Konvensyen ini, beberapa perkongsian awal tentang i. Dasar FELDA Pakatan Rakyat, ii. Dasar Anti-Monopoli Pakatan Rakyat iii. Dasar Pengukuhan Federalism Pakatan Rakyat iv.Dasar Memperkasakan Perkhidmatan Awam Pakatan Rakyat
Oleh kerana tarikh PRU ke-13 masih sukar diramalkan oleh pundit politik, maka Manifesto Pakatan juga perlu dirahsiakan sehingga ke satu tarikh yang ditentukan kemudian.
Kami bersedia mendengar maklum-balas dari semua pihak agar perumusan penyelesaian kami dalam Tawaran Jingga dan Manifesto PR nanti akan menjadi lebih mentap dan padu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Jingga Pakatan Rakyat.
Konvensyen Pakatan Rakyat kali-3.
Alor Star, Kedah.
14 hb Januari 2012.

[1] ‘Political Economy’ bukanlah bidang baru bahkan hampir sama usia dengan bidang ekonomi itu sendiri. Adalah diakui bahawa penulisan ‘seminal-agung’ Adam Smith – Wealth of Nation (1776) itu sendiri adalah bicara “Political Economy” begitu juga penulisan John Stuart Mill – Principles of Political Economy (1848).
[2] Tawaran ‘Negara Berkebajikan’ PAS memulakan paksi penyelesaian dengan premis peranan sebagai “Amanah kepada Tuhan sebagai Khalifah Allah di muka bumi dan menganggap segala perbuatan rasuah, salahguna kuasa dan ketirisan adalah perlakuan dosa terhadap Allah dan kerosakan (Al-Khusraan) yang dilakuan oleh Penguasa yang rakus sebagai perbuatan fasiq dan khianat terhadap Amanah Allah dan Mandat Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan