ALOR SETAR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi cabarannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk debat secara terbuka mengenai dasar-dasar kerajaan pimpinannya.
Beliau memandang serius perkara itu kerana ia akan membolehkan rakyat membuat penilaian terhadap pertembungan dua sistem yang wujud di negara ini antara Umno dan Barisan Nasional serta Pakatan Rakyat (PR).
Anwar dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan liwat Isnin lalu.
"Jika benar Najib ikhlas dan jujur ketika memperkatakan sebelum ini bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi terbaik di dunia, jadi, kita nak tahu huraiannya," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pemimpin pada Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Ketiga di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.
Turut hadir Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bapanya yang juga penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Presiden PKR, Datuk Seri Dr wan Azizah Wan Ismail.
Anwar berkata, PR juga ingin mendengar penjelasan atau jaminan Najib mengenai amalan demokrasi itu dengan memastikan pilihan raya umum akan datang bersih, dan adil tanpa sebarang penipuan sama sekali.
"Najib kena pastikan media Malaysia tidak menjadi seperti media di Mesir pada zaman Hosni Mubarak dengan memberi ruang yang cukup kepada pembangkang.
"Kerajaan juga mesti memastikan institusi pemerintahan seperti badan kehakiman, badan penguatkuasaan, polis, pecegahan rasuah dan jentera kerajaan lain telus dan profesional ketika menjalankan tugas," katanya.
Anwar yang juga Ketua Umum PR mempelawa Najib berdebat dengan beliau Oktober lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan