Sekumpulan pemuda yang diketuai Lokman Noor Adam, AJK Pemuda UMNO, berkonvoi dengan kereta dan motorsikal di depan bangunan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengugut untuk membakarnya seandainya PKR tetap menyertai perhimpunan anjuran BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.
Kira-kira 100 pemuda yang berpakaian merah "Patriot" ini dikatakan berhimpun di depan bangunan Merchant Square Tropicana, Petaling Jaya, pada jam 11 malam tadi. Malah, tidak kurang antara mereka yang membawa bendera UMNO.
Dalam twitternya, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menyifatkan kumpulan pemuda tersebut sebagai "samseng upahan UMNO", malah memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tadi.
EXCO kerajaan negeri Selangor, merangkap ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong juga membidas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dalam twitternya, kerana membiarkan anak buahnya memasuki sempadan kawasan Bukit Lanjan dan mengugut untuk membakar bangunan ibu pejabat PKR.
Ketika dihubungi MerdekaReview, Elizabeth Wong (gambar kiri) berkata Pemuda UMNO yang berada di situ mencemuh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, dan Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Ambiga Sreenevasan, menurut anggota PKR yang berada di situ, malah mereka mengugut untuk membakar bangunan ibu pejabat PKR seandainya PKR tetap menyertai BERSIH 2.0.
Bagaimanapun, Elizabeth menganggap tindak-tanduk Pemuda UMNO tersebut sekadar untuk menakut-nakutkan rakyat, tapi PKR tidak akan berganjak dan akan terus dengan perjuangan mereka.
Patriot ditubuhkan oleh Pemuda UMNO dan Kelab Putra 1Malaysia, mendakwa dirinya mewakili suara orang ramai dalam menentang perhimpunan haram yang akan dianjurkan kumpulan pengacau pada 9 Julai. Lokman Adam, bekas tahanan ISA yang melompat dari Parti Keadilan ke UMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan